Monday, 10 November 2014

DAYA MAJU, DAYA SAING DAN DAYA TAHAN PENENTU KELANGSUNGAN DUNIA BISNES ANDA.




Daya Maju , Daya Saing dan Daya Tahan adalah kunci KEJAYAAN dalam perniagaan. 

Jika anda seorang usahawan atau belum lagi bergelar usahawan, seringkali hadir ke mana-mana seminar, membaca buku keusahawanan  pasti seringkali disajikan dengan ungkapan  dan seruan agar menceburi perniagaan yang berdaya maju, meningkatkan daya saing atau pun meningkatkan daya tahan dalam perniagaan yang diusahakan.  

#Merencana bisnes yang berdaya maju.

Ramai usahawan mahu pun peniaga merasa bosan mendengar nasihat dan saranan yang berterusan  tentang  kepentingan daya saing serta daya tahan dalam bidang perniagaan yang diceburi. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kebanyakan usahawan dan peniaga merasakan sudah tahu apa yang dilakukan dan yakin bahawa semua tindakan yang diambil dan dilaksanakan mampu menjadikan perniagaan mereka berdaya maju, mampu bersaing dan berdaya tahan.


Malangnya ramai usahawan tidak berusaha  dengan teliti  apa yang perlu dilakukan  untuk meningkatkan daya saing, daya maju dan daya tahan dalam perniagaan mereka. Keghirahan mencari peluang dan kecenderungan mengambil risiko  sering melalaikan fokus usahawan  daripada meneliti kesan sesuatu keputusan dan tindakan yang diambil. Antara aspek penting yang mesti diambil oleh seseorang usahawan apabila mengambil keputusan untuk memulakan bisnes ialah memilih perniagaan yang selari dengan minat dan kecenderungan serta berdaya maju. Berdaya maju bermaksud membawa pulangan keuntungan berdasarkan segmen permintaan dan permintaan pelanggan. Membuat kira-kira berkaitan keuntungan yang ingin dicapai serta kos yang mahu ditampung dalam operasi dalam perjalanan bisnes yang akan dijalankan.

#Membina daya Saing perniagaan.

“ Jangan burukkan pesaing dalam bidang bisnes yang anda ceburi, Perkasakan dan lonjakkan kelebihan bisnes yang anda jalankan untuk menjadikan anda sentiasa berada di hadapan berbanding pesaing lain.”

Persaingan dalam niche pasaran sentiasa berubah dan boleh berlaku pada bila-bila, Kebijaksanaan dan kepekaan usahawan menangani situasi dan keadaan sangat penting. Mengambil tindakan segera adalah kunci utama untuk sentiasa di hadapan. Ramai usahawan sedar dan maklum, namun ramai yang mengambil tindakan tunggu dan lihat. Sebagai contohnya aspek susun atur kedai, dekorasi premis, kemahiran staf di kaunter hadapan dan banyak lagi . Aspek ini seolah-olah sesuatu yang sedikit remeh. Namun sebenarnya ramai usahawan kurang peka terhadap perkara-perkara yang remeh tapi sebenarnya aspek yang remeh inilah yang  akan membawa kesan dan impak yang besar dalam perniagaan yang diusahakan.


#Sentiasa Berdaya Tahan dalam  situasi sukar.

Seperkara yang sangat penting dalam menelesuri  perjalanan dunia usahawan ialah mengurus perniagaan agar sentiasa  kekal berdaya tahan. Membina keupayaan saja tidak memadai jika keupayaan bertahan tidak ada dalam diri usahawan dalam situasi-situasi yang sukar datang secara tiba-tiba . Antara masalah yang sering timbul antaranya seperti masalah pekerja, konflik dengan pelanggan, modal pusingan dan apa juga bentuk masalah yang hadir tanpa diduga.   Bertindak bijak dalam menangani masalah adalah salah satu kunci untuk sentiasa keluar dari zon masalah. Setiap masalah perlu ditangani dengan bijak dan tuntas. Mengambil pendekatan lari atau membiarkan masalah tanpa tindakan penyelesaian akan mengundang masalah yang lebih besar. Semakin bijak seseorang usahawan menyelesaikan apa juga masalah yang datang, semakin matang diri usahawan dalam menangani apa juga masalah yang hadir pada setiap perjalanan perniagaan dari masa ke semasa.

Rumusannya  aspek Daya Maju, Daya Saing dan Daya Tahan adalah tiga elemen yang amat penting dalam perjalanan seorang yang bergelar usahawan. Seumpama permainan Bola sepak yang semua orang inginkan kemenangan untuk menjadi Juara. 

“ Bisnes Ibarat  Bola Sepak , KALAH bererti  rugi, SERI  adalah statik, MENANG  adalah Kejayaan “
Selamat berniaga.
Ahmad Ahba Moktar.
Like www.facebook.com/ahbasports.



No comments:

Post a Comment