Monday, 7 October 2013

BISNES : CABARAN vs INSPIRASI.


BERNIAGA adalah kerjaya yang dikaitkan dengan lubuk kekayaan. Hadis Menjelaskan 9/10 pintu rezeki adalah dari sumber perniagaan. Sebab itu ramai yang beriya-iya serta berkeinginan tinggi untuk melibatkan diri dlm perniagaan. Namun ramai yang lupa, di sebalik pemahaman tentang berniaga itu sinonimnya adalah kekayaan ialah tentang wujudnya cabaran serta masalah yang menanti detik mula seseorang usahawan itu memulakan langkah untuk terlibat dalam dunia yang dipanggil. " Dunia BISNES.

Dengan penglibatan dan pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan bermula dari bawah  merentasi dunia perniagaan selama 10 tahun tanpa ada asas dan latar belakang berniaga, saya mengkategorikan perjalanan dalam dunia perniagaan  telah melalui 3 fasa iaitu.

Fasa # Pertama : Tahun Pertama hingga Tahun kedua.
Tahap ini adalah tahap kritikal bagi seorang peniaga. Saya menguna pakai istilah peniaga sesuai dengan status pada masa ini yang memikirkan bagaimana mahu mula berniaga. Pemikiran pada peringkat ini lebih menjurus hanya semata-mata untuk memulakan bisnes .

Pada peringkat ini peniaga akan berhadapan dengan pelbagai rencam cabaran dan dugaan. Kekuatan mental dan fizikal lazimnya akan teruji ketahanannya di peringkat ini. Istilah sendiri Bos dan sendiri pekerja amat sinonim pada zon ini. Tanpa kekuatan dan keampuhan jati diri sebagai peniaga yang baru bermula, ramai yang kecundang dan tidak melepasi tahap ini.

Peniaga akan tercabar dengan pelbagai dugaan pada peringkat ini. Perjalanan melayari dunia awal bisnes seumpama meredah hutan tanpa kompas dan pengetahuan asas tentang selok belok ilmu hutan. Kekuatan fizikal dan mental amat dituntut serta memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ubat mujarab bagi menangkis cabaran-cabaran ini ialah dengan memperbanyakkan bacaan buku-buku keusahawanan. Menelusuri perjalanan perit jerih usahawan yang kerap ditonjolkan di kebanyakan majalah dan buku-buku yang berkaitan dengan bisnes. Hadirkan diri ke majlis-majlis seminar yang berkaitan dengan dunia bisnes untuk suntikan semangat dan mendapatkan ilmu-ilmu serta rakan-rakan niaga baru.

TERAPI paling mujarab untuk berhadapan dengan masalah dalam pelayaran bisnes ialah apabila diri mampu mentranfomasikan MASALAH kepada CABARAN “


Fasa # Kedua : Tahun Ketiga Hingga Tahun ke Lima

Pada Tahap ini adalah tahap keremajaan dalam Bisnes. Sedikit kematangan selepas melalui detik-detik zon sukar peringkat pertama. Perjalanan Bisnes sedikit menampakkan kemajuan. Jika sebelumnya memiliki kedai yang kecil atau belum ada profail serta tidak berdaftar, peniaga sudah mempunyai sedikit keberanian dan keyakinan untuk meluaskan ruang kedai atau pun kedai yang sedia ada sudah kelihatan menarik serta menampakkan kemajuan.

Tahap keyakinan dan kematangan semakin meningkat, naluri sebagai peniaga yang mempunyai kemahiran meramal dan mentafsir ruang dan peluang semakin berputik. Ini sedikit sebanyak membantu proses kematangan untuk meningkat status seorang peniaga kepada status seorang usahawan.

“ Proses ANSUR MAJU dalam bisnes adalah sesuatu yang semulajadi, PergerakanIanya adalah seiring  dengan Jiwa, Minda, Energi serta Fizikal seorang PENIAGA sebelum mendapat tiket untuk mencapat status USAHAWAN “

Fasa # Ketiga : Tahun Kelima dan seterusnya.

Fasa yang memungkin seseorang usahawan sepatutnya menerima trofi kejuaraan. Dalam Bola sepak istilah juara lazimnya dikaitkan dengan tekanan. Mempertahankan kejuaraan serta memastikan pasukan sentiasa tidak leka dan alpa dengan status kejuaraan yang disandang . Begitu juga dalam dunia bisnes, Pada tahap ini, tugasan usahawan sebagi nakhoda entiti perniagaannya biasanya beralih arah kepada staf-staf sokongan yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan.

Peratus penguasaan usahawan dalam kerja-kerja operasi semakin kurang berbanding sebelumnya. Seseorang usahawan lebih banyak menggunakan energi minda, pemikiran, berperanan sebagai pemikir yang konsisten berbanding dengan energi fizikal pada tahap pertama dan kedua. Status nakhoda bisnes memerlukan seorang usahawan yang mampu mengaplikasikan pendekatan yang berkesan untuk memacu pelayaran bisnes dengan baik.

Pengunaan sistem, kemahiraan meramal, kebijaksanaan membuat keputusan-keputusan yang tepat dan pantas amat dituntut bagi seseorang usahawan terutamanya dalam menghadapi pelbagai rencam masalah yang datang dari pelbagai sudut. Ini termasuklah masalah staf, kewangan, operasi, pentadbiran dan mungkin juga berkaitan dengan diri dan keluarga usahawan itu sendiri.



“ Jika FOBIA dan alah dalam menghadapi masalah dalam hidup, Anda TIDAK berada pada landasan yang benar untuk terjun dalam dunia bisnes. “

 PERJALANAN AWAL DALAM KEGELAPAN

Berlatar belakangkan kerjaya sebagai guru sebelum terlibat secara langsung dalam dunia perniagaan sekitar tahun 2000. Bergelar pendidik dengan memulakan tugas sebagai seorang guru pada tahun 1991 di daerah Tenom sehinggalah berpindah ke W.P Labuan apabila berkahwin dan menetap di Labuan pada tahun 1995. Perubahan lanskap persekitaran menyebabkan saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan secara tidak langsung. Kebetulan juga keluarga Ibu mertua adalah pengusaha gerai kraftangan di W.P Lbuan. Ini sedikit sebanyak memberi sedikit suntikan pada diri untuk berniaga secara kecil-kecilan pada ketika itu.

Bagaimana pun, penglibatan dalam bisnes pada masa itu, seumpama sedang berjalan di tengah jalan, sambil melangkah menyepak batu-batu kecil sebagai permainan kaki di sepanjang langkah dihayun. Pengalaman semasa di sekolah rendah berjualan nasi lemak yang dibuat oleh nenek, kemudian saya membawanya ke sekolah untuk dijual belum mampu menerbitkan kesinambungan roh berniaga pada diri, walaupun sesi berjualan itu berlanjutan semenjak darjah 5 hingga ke darjah enam.

Namun begitu, di saat rangka catatan ditulis, hati kecil saya sangat kuat mengatakan bahawa, bibit-bibit semaian berniaga sebenarnya sudah berputik tatkala tangan menjinjing bakul kuih yang diperbuat dari kulit dahan pokok rumbia seawal 30 tahun yg lalu ketika menjadi pelajar lelaki Darjah Enam sebagai penjual kuih di Sekolah Rendah Kebangsaan Gadong Beaufort.

MENEMUI TITIK POINT SERTA  POTENSI DIRI SEBENAR

Semasa umur 13 tahun
Sebaik sahaja berpindah dan bertugas di Sebuah Sekolah Rendah  pada tahun 1995 dan menjalani kehidupan berkeluarga di W.P Labuan. Saya menjalani rutin kehidupan yang baru bersama isteri dan seorang cahaya mata yang menyerikan kehidupan berkeluarga yang saya baru tempuhi. Mungkin keadaan serta  persekitaran di W.P.Labuan banyak perbezaan berbanding di daerah Tenom yang saya diami sebelum itu. Persaingan hidup, kemajuan infrastruktur, pola kehidupan rakan-rakan sejawat di tempat bertugas juga sedikit berlainan dan mempunyai kepelbagaian latar belakang status pendidikan masing-masing.

Ini Mengubah minda saya, bila mana suatu hari saya bersembang dengan seorang rakan sekerja yang berketurunan cina berasal dari Sarawak yang baru sahaja berpindah tugas di sekolah yang sama dengan saya. Dia menceritakan tentang cadangannya untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA tahun depan dengan kelulusan peperiksaan STPM yang baru beliau perolehi dengan jayanya pada tahun lepas sebagai calon persendirian. Saya sedikit teruja dengan apa yang beliau ceritakan. Sebagai calon persendirian STPM pada tahun lepas beliau masih mampu meperolehi keputusan yang cemerlang 5 prinsipal yang melayakkan untuk memohon saluran Unit Permohonan Universiti  pada masa itu. Rakan ini sempat membisikkan pada saya, " Boleh buat ( dapat keputusan cemerlang ) tapi kenalah buat betul-betul dalam satu tahun belajar sungguh-sungguh dan berkorban masa sedikit "

Saya benar-benar teruja dengan apa yang rakan saya ini kongsikan. Saya menconggak sendiri bila mana rakan-rakan sejawat yang lain seorang demi seorang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti berbanding saya yang pada ketika itu hanya memiliki Sijil Asas Perguruan dan keputusan tertinggi SPM lebih-lebih lagi di W.P.Labuan. Dalam seminggu pemikiran saya banyak berkisar tentang apa yang rakan sekerja ceritakan pada saya. Saya juga mula berbincang dengan isteri tentang hal ini di rumah, walaupun pada ketika itu saya sememangnya mula mencari tapak asas untuk berniaga sebagai pengedar pelbagai syarikat MLM bagi menambah pendapatan sampingan.         

Keadaan ini berlarutan selama dua hingga ke tiga minggu. Memasuki minggu ke empat saya mengambil keputusan untuk meninggalkan semua aktiviti-aktiviti rutin harian saya seperti bermain bola, berjualan sebagai agen dan pengedar pelbagai Syarikat MLM dengan satu keputusan untuk mula belajar sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun 1998. keputusan drastik ini saya ambil pada penghujung tahun 1996. Dengan tekad yang tidak  berbelah bahagi, saya membulatkan keazaman bahawa saya perlu belajar dan menduduki peperiksaan STPM bagi membolehkan saya memasuki ke Universiti pada tahun 1999.

Awal tahun1997 tiba serta saya menyambut detik 1 Januari dengan keazaman yang sangat tinggi serta tidak pernah saya alami sebelum ini, sama ada semasa bergelar pelajar mahu pun setelah bergelar pendidik ketika itu. Saya menetapkan matlamat untuk mencapai misi saya sebagai calon persendirian STPM selama dua tahun iaitu bermula pada tahun 1997 dan pada tahun 1998  akan menduduki peperksaannya. Keinginan untuk belajar yang tinggi menjadikan saya merubah semua rutin harian yang menjadi kebiasaan diri seperti menonton televisyen, aktiviti riadah, bermain bola sepak pada sebelah petang kepada aktiviti membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Perkara sukar yang saya tempuhi apabila saya mengubah rutin dan kebiasaan saya tidak pernah membaca buku-buku ilmiah selama hampir sepuluh tahun sejak memulakan tugas pada tahun 1991. Sesesuatu yang amat saya sukar percayai bila mana semua buku-buku yang saya baca tidak pernah saya baca sebelum ini,  Sebabnya adalah  saya tidak berjaya menyambung pengajian ke Tingkatan Enam sebaik tamat di tingkatan lima malahan seterusnya ditawarkan memasuki ke Maktab Perguruan pada  tahun 1989 selepas tamat Tingkatan Lima pada tahun 1985. 

Alhamdulilah, semuanya berjalan seperti dirancang, walaupun sebulan pertama dan kedua, sesuatu yang amat sukar bagi saya mentranformasi minda dan diri yang sudah sekian lama tidak mentelaah buku-buku bacaan yang berbentuk ilmiah, Apa lagi buku-buku pelajaran di peringkat menengah atas pada ketika itu. Namun cabaran dan proses tranformasi minda sedikit demi sedikit mula berputik secara perlahan-lahan. Proses ini berlanjutan selama dua tahun sehingga saya menduduki peperiksaan STPM di penghujung tahun 1998. Di sepanjang dua tahun yang saya lalui. bukan sedikit pengorbanan yang saya tempuhi. Untuk memenuhi dan menepati pra syarat untuk memasuki Universiti pada ketika itu melalui saluran kemasukan UPU, sekurang-kurangnya memperolehi keputusan 5 prinsipal ( atau sijil penuh ). Keadaan ini memaksa untuk saya mengambil 4 mata pelajaran yang berorientasikan ilmiah manakala 1 mata pelajaran adalah lukisan. Pemilihan mata pelajaran lukisan mendorong saya untuk mengambil kelas tuisyen selama enam bulan bersama pelajar menengah dan sekolah rendah di sebuah pusat tuisyen asas lukisan di W.P.Labuan ketika itu.

Bagi Mata pelajaran yang lain, saya mengambil kursus Adabi  Gaya Pos yang memerlukan saya mengikuti dan membaca nota dan menjawab soalan, kemudian dihantar ke Kuala Lumpur untuk pihak Adabi Gaya Pos semak dan buat pembetulan. Proses pembelajaran kendiri ini berlanjutan selama dua tahun. Selama tempoh itu juga saya mula memahami akan erti potensi diri yang belum pernah digilap. Saya mula mengenali diri dan mula menyemai bakat untuk sentiasa menjadi diri sendiri yang sebenar. Tempoh dua tahun yang amat panjang saya lalui dengan kesabaran. Berjaga sehingga jam 11 malam dan memaksa diri untuk bangun pada waktu sebelum subuh menjadi rutin diri. Alhandulilah. isteri  juga memahami situasi  yang saya lalui ketika itu.

Saat yang ditunggu telah tiba, masa untuk berhadapan dengan cabaran peperiksaan yang ditunggu telah tiba. Dengan semangat dan persediaan yang saya anggap sungguh rapi, saya memulakan hari pertama peperiksaan dengan tenang dan penuh ketenangan. Selebihnya saya berserah kepadaNYA. Demikianlah saya melalui jadual peperiksaan sehinggalah selesai semua mata pelajaran. Di hari terakhir subjek yang saya duduki, satu kepuasan yang sukar dinyatakan. Dalam diri saya membisikkan bahawa saya akan memasuki Universiti pada tahun hadapan iaitu pada tahun 1999. Keyakinan ini agak berbeza berbanding semasa saya menduduki peperiksaan di peringkat SPM yang lalu.

Masa terus berlalu, dalam masa yang sama berakhirlah juga perjalanan yang amat panjang serta perit diri rasakan. Menjalani hari yang seterusnya dalam suasana yang agak tenang bersama isteri dan anak sulung Faiz Aiman yang berusia 2 tahun setengah ketika itu. Apa yang berlegar dalam hati ialah menanti keputusan STPM yang biasanya diumumkan pada sekitar bulan mei tahun berikutnya. Saya menjadi seorang yang menghitung hari. Dalam penantian yang saya lalui, saya telah awal-awal lagi mendapatkan Borang permohonan Kemasukan Ke Universiti melalui Unit Pengajian Universiti ( UPU ) pada ketika itu. Atas keyakinan yang tinggi dengan apa yang diusahakan dan dijawab semasa peperiksaan saya terjemahkan keyakinan itu dengan mengisi awal semua data peribadi pada borang termasuk universiti yang menjadi pilihan nanti kecuali ruangan keputusan yang akan di isi kelak.

Detik yang dinanti, telah tiba, pada malamnya berita di televisyen menguwar-uwarkan infomasi mengenai keputusan peperiksaan STPM akan diumumkan serentak di seluruh negara pada esoknya. saya menjadi sedikit gelisah dan resah menanti esoknya akan tiba. Keesokkan pagi saya bangun sewaal yang mungkin. Sebaik sahaja jam menunjukkan angka 8.30 pagi saya menghubungi unit peperiksaan di Kota Kinabalu untuk mendapatkan info keputusan bagi calon persendirian, JKebimbangan itu atas sebab tempoh penghantaran borang UPU hanya dalam tempoh masa dua minggu selepas keputusan diumumkan. Sebaik saja penggilan telefon diangkat. pegawai yang melayan panggilan saya mengatakan semua kepuitusan calon sudah dihantar ke PejabaPelajaran W.P.Labuan. Ini memaksa saya menghubungi pejabat pelajaran di Labuan yang juga tidak jauh dari tempat bertugas ketika itu. Di talian saya bertanya dengan pegawai yang menjawab panggilan memang saya kenal. Sebaik saya memperkenalkan diri. rakan pegawai terus mengucapkan tahniah dan menyuruh saya ke pejabat untuk mengambil keputusan yang saya perolehi. Saya sedikit tergamam, sehinggakan saya tidak sempat bertanya tentang keputusan yang saya perolehi. tanpa melengahkan masa saya bergegas ke pejabat yang hanya mengambil masa 10 minit dari rumah.

Setiba di pejabat saya dihulurkan ucapan tahniah dari rakan yang bertugas di pejabat. ada bertanya dan mengajukan pertanyaan bagaimana saya memperolehinya dan sebagainya. Saya memperolehi keputusan sijil penuh dalam kesemua lima mata Pelajaran yang diambil. Saya sedikit berasa terkenal dan popoular seketika. Beberapa ketika berada di pejabat pendidian saya beredar untuk balik ke rumah dengan perasaan yang amat sukar digambarkan. Sebaik sahaja memasuki kereta yang saya letakkan di tepi jalan. Saya menjerit sekuat hati, seolah-olah melepaskan satu beban yang amat berat selama tempoh 2 tahun saya lalui. Alhamdulilah syukur kepadaNYA, doa saya sepanjang masa dimakbulkan. setiba di rumah saya kongsikan kegembiraan ini bersama isteri. Seminggu kemudian sesi persekolah bermula selepas cuti dua minggu. Saya hadir ke sekolah dengan sedikit kelainan suasana dan rasa bangga pada diri. Rakan-rakan guru tidak putus-putus mengucapkan tahniah. saya benar-benar melalui satu detik yang sangat bermakna. sesuatu yang saya tidak pernah alami sebelum ini.

Majlis Konvo UMS 2002
Hari-hari berikutnya saya dan isteri mula mencongak-congak perjalanan yang ditempuhi seterusnya, Borang permohonan Ke Universiti telah dilengkapkan dan telah dihantar sebaik semuanya selesai. Akhirnya saya diterima masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang Sains Sukan, walaupun 4 dari 5 pilihan saya meletakkan Universiti Malaysia Sabah. Keputusan ini sedikit sebanyak merisaukan saya apabila terpaksa meninggalkan keluarga di W.P Labuan. Namun sesuatu yang mengerakkan hati kecil saya untuk menghantar surat rayuan permohonan ke UMS berdasarkan salinan borang UPU yang saya fotocopy sebelum mengirimkannya dahulu. Walaupun tidak mendapat apa-apa respon di pihak pendaftar Sekolah Pendidikan UMS ketika itu, saya meyakini usaha terakhir adalah lebih baik mencuba daripada langsung tidak melakukan apa usaha. Kemahiran ini juga sebenarnya mula berputik pada diri tatkala mula mengenali potensi semenjak mengenali diri yang sebenar berbanding sebelum itu.

Tiba saat untuk mendaftar di UPSI, saya menyeberangi Laut China Selatan ke Tanjung Malim Perak. Menyesuaikan diri dalam persekitaran kampus di UPSI bukanlah sukar sngat bagi saya, ianya tidaklah begitu jauh beza dengan suasana semasa di maktab Perguruan dahulu. Memasuki minggu keempat di UPSI, saya mula dapat menyesuaikan dengan keseluruhan keadaan yang sedikit mencabar. Maklumlah memasuki universiti sebagai seorang mahasitua.

Namun sesuatu yang tidak dijangka , bilamana nama saya tertera di papan kenyataan dikehendaki untuk berjumpa dengan pejabat pendaftar UPSI. Timbul tanda tanya di minda, termasuklah berkaitan dengan yuran pangajian dan sebagainya. Walhal semua yuran telah diselesaikan bayaran pada awal pendaftaran lagi. Sebaik bersemuka dengan pegawai pendaftar, maklumat yang diterima saya mendapat tawaran memasuki UMS bagi kemasukan kedua. Saya juga dikehendaki mendaftar 3 hari akan datang jika menerima tawaran tersebut. Berita yg amat saya tidak jangka. Tanpa berlengah masa. keesokkannya saya menyeberangi Laut China selatan untuk mendaftar di Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial dalam jurusan Pengajian Geografi.
Alhamdulilah teramat bersyukur atas nikmat yang Allah berikan.Tidak sia-sia usaha saya menghantar salinan permohonan ke pihak UMS. Maha kaya Allah s.w.t. Maka bermulalah kehidupan sebagai mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah.      

Melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah di UMS secara sepenuh masa pada tahun 1999 dengan status separuh gaji mendorong saya melakukan pelbagai pekerjaan sampingan bagi menampung kehidupan belajar sepenuh masa dengan separuh gaji bersama keluarga yang di bawa bersama berpindah   di Kota kinabalu. Daripada menjalankan perkhidmatan pengangkutan kereta iswara saya ke airport kepada rakan-rakan sekuliah , saya juga diajak oleh rakan untuk membuat pelbagai design baju T.shirt berkonsepkan kehidupan kampus UMS pada masa itu. Kebetulan UMS pada ketika itu baru berusia 3 tahun, aura dan kecenderungan pelajar serta masyarakat Kota Kinabalu untuk mendapatkan baju t.shirt UMS amatlah tinggi.

Keadaan ini membuka ruang saya bersama rakan menerima tempahan serta mencuba mereka corak baju T yang berlatar belakangkan jiwa mahasiswa seperti Campus Life dan sebagainya. Sesuatu yang bukannya secara kebetulan, bila mana dalam  satu semester pengajian kami diajar kemahiran melukis kartografi bagi mata pelajaran Geografi khususnya berkaitan peta muka bumi. Rupanya perisian lukisan peta itulah yang diguna pakai dalam  kebanyakan kerja design untuk mencetak t.shirt yang memudahkan saya mendalami kemahiran cetakan t.shirt sehingga masa kini. Penghargaan kepada pensyarah saya Prof Mustapha yang kini adalah seorang pelanggan syarikat ahba Niaga Iklan. Alhamdulilah.       

Dalam kesibukan berkuliah saya bersama rakan mengambil peluang untuk mencari pendapatan sampingan dengan membuat pelbagai t.shirt serta mengambil tempahan. Keadaan tersebut terus berlarutan sehingga menerbitkan rasa seronok pada diri mempelajari kemahiran selok belok cetakan t.shirts dengan cara yang betul. Mempelajari kaedah cetakan t.shirt secara konsep “ Try and Adjust“ tanpa hadir ke mana-mana kursus memaksa saya mengambil masa setengah tahun untuk menjadi mahir tentang teknik dan kemahiran mencetak t.shirt.

Alhamdulilah setelah enam bulan mempelajari, tempahan pertama yang saya lakukan cetakan dengan ilmu yang dituntut secara kendiri ialah sebanyak 20 helai dari rakan yang berkursus di sebuah instituisi pendidikan yang kebetulan membuat tempahan pada ketika itu. Daripada 20 helai baju yang dicetak, hanya dua helai sahaja yang rosak disebabkan kemahiran mencetak yang belum mahir sepenuhnya. Dari saat inilah saya mempelajari kemahiran mencetak dan ianya semakin menunjukkan peningkatan serta meningkatkan keyakinan diri untuk meneroka bidang perniagaan yang berkaitan dengan cetakan.

Masa terus berjalan, keinginan berniaga sangat tinggi mengalir dalam jiwa saya waktu itu. Gambaran di minda untuk memiliki syarikat begitu membuak-buak ketika itu, Ianya terzahir semasa berada di tahun 3 apabila memberanikan diri mengambil lot Stall di sebuah Kompleks terkenal di Kota Kinabalu iaitu, di tingkat enam Wisma Merdeka dengan kadar sewa RM350 pada masa itu.. Inilah pengalaman pertama berurusan dengan pelanggan. Pada masa itu, saya hanya berada di Stall apabila tiada kuliah, Ianya berlarutan selama 3 bulan sahaja. Saya mengambil keputusan berhenti menyewa disebabkan masalah masa yang tidak menentu. Bagaimana pun pengalaman 3 bulan membuka kedai, walaupun ianya berstatus stall namun impaknya pada diri amat besar ertinya. Saya memasang impian suatu masa nanti saya akan membuka semula apabila menyelesaikan pangajian di Universiti.

Masa terus berlalu, di pertengahan tahun 2002 saya menamatkan pangajian di Universiti dan ditempatkan bertugas semula di sebuah sekolah di daerah Tuaran Sabah. sehingga 20005 sebelum berpindah ke SMK Likas Kota Kinabalu. sebelum meletakan jawatan pada tahun 2007

Kedai Pertama Ahba Sports & Souvenirs 2003
BERMULALAH EPISOD SEBENAR SEBAGAI BOS DAN KULI

Berniaga tanpa ilmu umpama meredah hutan belantara. Seumpama berjalan di atas jalanraya, sambil menghayun langkah, sesekali kali menyepak atau tersepak batuan yang ditemui di sepanjang langkah.

Sebaik bertugas semula di sekolah Menengah tempat penempatan semula sebaik tamat pangajian, saya masih meneruskan kerja-kerja perniagaan saya. Cuma bezanya kali ini tumpuan pengagihan masa antara mengajar dan berkuliah sedikit berbeza. Bagaimanapun saya masih mampu mengagihkan masa antara tugas mendidik dan melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan bisnes cetakan baju yang saya usahakan.

Pada penghujung tahun 2002 semangat untuk membuka kedai kembali menghantui minda dan semangat jiwa saya. Bayangan imaginasi bisnes kad perniagaan saya pada masa itu, Ahba Enterprise terbayang akan terpampang pada hadapan kedai yang saya akan buka sedikit masa lagi. Keinginan dan naluri untuk membuka kedai sangat kuat pada masa itu, Di pertengahan September 2002 saya mencari-cari dan mengenal pasti lokasi yang menyewakan lot kedai di beberapa shooping Komplek di Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam masa yang sama saya juga mendapatkan nasihat dan pandangan beberapa orang rakan tentang lokasi yang sesuai untuk membuka kedai. Ini termasuklah rakan saya yang berbangsa Tionghua yang menjadi tempat saya mengambil barang-barang sebelum saya membuka kedai sukan pada awal tahun 2003. Seperkara yang tidak mungkin saya lupa jasa baik sahabat yang berbangsa Tionghua Mr. Fred Poh ialah beliau memberi kebenaran untuk saya mengambil barang secara kredit pada jumlah RM5,000 untuk  mengisi kedai yang  akan dibuka nanti. Saya juga sempat meminta pendapat dan nasihat bagaimana  untuk memulakan dan membuka kedai. Beliau juga memberi tips-tips yang amat membantu saya. Ini adalah disebabkan sikap ketelusan yang saya tujukkan sepanjang menjadi orang tengah dengan membawa tempahan-tempahan ke kedai beliau sebelum itu. 

“ Katanya jika memilih kedai ada yang murah sewa, tetapi sedikit tersorok. Lebih baik ambil yang sedikit mahal tetapi agak ke depan dan mudah orang atau pelanggan nampak “.

Inilah ilmu berniaga yang mula saya pelajari dan masih diingat sehingga kini bila mana  saya langsung tidak ada ilmu asas dalam perniagaan, lebih-lebih lagi untuk membuka kedai di bandar Kota Kinabalu ketika itu. Akhirnya saya telah mengambil keputusan untuk menyewa sebuah premis di shoping kompleks yang berkeluasan 110 kaki persegi pada kadar sewaan RM1000 sebulan termasuk air dan elektrik. Ianya terlaksana pada penghujung Disember 2002. Bagaimana pun secara mudahnya saya mengambil ketetapan untuk memulakan oparasi kedai dengan nama AHBA SPORTS & SOUVENIRS pada 1 Januari 2003. Atas sebab itu, bermula pada waktu itu juga, saya gemar memulakan tarikh 1 Januari untuk memulakan sesuatu yang penting dalam perjalanan bisnes saya termasuk kejayaan saya membuka premis lain pada tahun-tahun berikutnya.

Ucap tama dalam seminar bersama Staf anggota
Alhamdulilah, bermulalah episod saya melakukan dua tugas iaitu kerjaya sebagai pendidik dan berbisnes dalam satu masa sebaik saya membuka kedai. Dibantu oleh seorang adik perempuan yang baru sahaja selesai menamatkan pangajian di Universiti. Sebelah paginya saya bertugas manakala sebelah petangnya saya di kedai dan menguruskan pembelian barang-barang tempahan t.shirt. Begitulah rutin harian sepanjang tahun 2003 yang saya lalui. Kelazimannya saya bersama adik akan sampai ke rumah selewat-lewatnya jam 9 malam. Tidak berakhir di situ sahaja, pada jam 10 malam seterusnya, biasanya saya akan menyelesaikan kerja-kerja tempahan pelanggan seperti mencetak t.shirt dan memasang tropy serta piala yang tidak sempat disiapkan di kedai.

Masa terus berlalu, dalam tempoh setahun membuka kedai secara serius sehinggalah penghujung tahun 2003 premis Ahba Sports & Souvenirs telah berpindah sebanyak tiga kali dalam shopping Mall yang sama. Ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat saya di awal-awal berniaga. Bagaimana pun di akhir tahun 2003, saya diberi peluang oleh seorang kenalan pegawai Mara yang mencadangkan supaya saya menyewa premis Mara di pinggir pusat bandar Kota Kinabalu. Walaupun pada awalnya saya tidak begitu berminat namun pegawai ini beriya-iya mencadangkan saya mengisi borang permohonan. Akhirnya saya dipanggil untuk temuduga permohonan premis Mara serta mendapat perkhabaran gembira bilamana permohonan yang saya buat telah dipertimbangkan oleh pihak atasan Mara negeri Sabah.

Dalam masa yang sama menerima keputusan permohonan premis, suatu perkara lain berlaku bilamana beberapa orang pekerja di bahagian percetakan mengambil keputusan berhenti secara tiba sekaligus. Ini disebabkan terbongkarnya aktiviti tidak jujur yang mereka lakukan semasa ketiadaan di bengkel terutamanya apabila saya ke sekolah pada waktu pagi. Keadaan ini menjadi tamparan hebat pada diri, lebih-lebih lagi bersiap untuk pindah ke permis yang baru diperolehi dari Pejabat MARA. Pekerja-pekerja yang ada meninggalkan saya seorang diri dengan timbunan invoice pelanggan yang tidak selesai tetapi deposit wang telah mereka ambil awal. Ini mengundang masalah baru serta menganggu perancangan untuk berpindah ke premis baru yang lebih luas. Dengan kedudukan kewangan yang agak kritikal disebabkan banyak digunakan untuk menyelesaikan tempahan yang ditinggalkan separuh jalan oleh pekerja yang melarikan diri. Dalam masa yang sama bersedia untuk melakukan ubahsuai premis baru. Keceleruan daripada masalah yang timbul mengundang pertimbangan baru untuk mengembalikan tawaran kepada pihak lain.

Bagaimana pun dalam kecelaruan yang semakin menebak sanubari serta jiwa raga yang masih rapuh. Saya mengumpulkan kekuatan semangat dalaman yang ada pada diri untuk terus menongkah cabaran. Perkara pertama yang saya sematkan dalam diri ialah bisikan pada hati kecil

" Aku perlu bangkit dan teruskan perjalanan ini, Insha Allah jika aku berjaya suatu hari nanti, bukanlah untuk orang lain, tetapi adalah untuk diri ku sendiri "  

Dengan modal yang tinggal sedikit saya mula memikirkan banyak perkara berkaitan persiapan untuk memasuki premis yang baru. Dengan keluasan ruang 1100 kaki persegi tidak banyak mana barang yang sedia ada untuk melatari ruang kedai yang akan dimasuki sedikit masa lagi. Ini membawa kepada keputusan untuk menjual kereta Iswara yang saya miliki untuk mendapatkan wang tunai berbanding menjual kepada agen penjual kereta yang pasti menekan harga rendah. Alhamdulilah, dengan sedikit wang yang diperolehi daripada harga kereta yang dijual. Bermulalah episod kedai Ahba Sports & Souvenirs di premis baru sehingglah kini di lokasi Likas Plaza. Likas Kota Kinabalu.

Bersama Barisan Staf Anggota Ahba4u
Alhamdulilah masa terus berlalu. dengan permulaan di premis baru saya bangkit semula dengan membeli beberapa mesin jahitan logo berkomputer dan mesin cetakan banner  berkualiti tinggi. Mempelbagaikan skop bisnes seperti membuat rubber stamp serta mendaftarkan syarikat dengan kementerian kewangan. Pekerja pula terus bertambah, dan Alhamdulilah memasuki tahun ketiga di premis baru perniagaan semakin meningkat dan berkembang maju. Dengan bantuan pekerja yang diberi mandat serta tanggungjawab untuk memantau perjalanan kedai semasa bertugas sebagai pendidik, saya masih mampu untuk mennyeimbangkan tugas-tugas sebagai seorang guru dan dalam masa yang sama juga menguruskan kerja-kerja yang berkaitan perjalanan perniagaan yang semakin berkembang.

Keadaan ini telah menyebabkan saya mula memikirkan mencuba untuk mengambil cuti tanpa gaji selama setahun pada tahun 2006. Sebelum itu juga saya,  cuba tidak menganggu gaji  sebagai pendidik untuk melihat sejauh mana saya mampu survaival jika saya bercuti tanpa gaji dengan mengharapkan gaji sebagai berniaga.
Cuti tanpa gaji telah bermula selama setahun, dan saya memberi tumpuan masa dan tenaga untuk membangunkan kedai dan berulang alik ke Kuala Lumpur untuk bertemu pembekal-pembekal yang tidak pernah saya bertemu sebelum itu, disebabkan kekangan masa. Namun urusniaga tetap dilakukan secara tunai melalui telefon.

Di akhir penghujung percutian saya berakhir, semangat untuk bertugas telah semakin malap, walaupun pada awalnya memang berniat untuk kembali bertugas di sekolah. Keadaan tiu, menyebabkan saya menggunakan gerak hati yang kuat untuk membuat keputusan, sama ada kembali bertugas atau berhenti dari guru. Walupun 9 daripada 10 yang saya jumpa untuk meminta pendapat tentang idea untuk berhenti, 9  daripadanya mencadangkan jangan berhenti dan cuma seorang  akan menyokong. Saya mengambil  kekuatan gerak hati yang saya selalu guna pakai bagi membuat keputusan-keputusan yang besar dan kritikal di saat-sukar..
Meraikan pelanggan ahba Niaga Iklan
Di akhir tahun 2007 saya mengambil keputusan yang sangat drastik dengan meletakkan jawatan sebagai pendidik setelah bertugas selama 17 tahun. Keputusan ini membawa kepada satu idea baru dalam minda saya. Iaitu membuka dan melebarkan bisnes yang sedia ada sebaik meletakkan jawatan nanti. . Berpegang kepada prinsip "

" Sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa serta sentiasa mengambil keputusan  dengan cepat , pantas  pada masa yang tepat "

Ini membawa kepada idea pembukaan syarikat baru iaitu AHBA Niaga Iklan yang beroperasi di sebuah lot kedai berhadapan kedai Ahba Sports & Souvenirs juga di Likas Plaza. Dengan terbukanya syarikat Ahba Niaga Iklan membawa kepada cabaran baru bagi diri saya. Ini membawa kepada pembelian mesin-mesin cetakan banner skala besar, engraving dan sebagainya. . Mengandaikan jika saya berhenti, saya perlu menambah  cabang bisnes saya dari sebuah kedai sukan dengan bisnes yang berkaitan iaitu pembuatan Papan Tanda dan Signbord.

Alhamdulilah, Pada tahun 2009 saya membuka  cawangan kedai sukan Ahba Sports & Souvenir di My Hometown Beaufort iaitu  100 Kilometer dari Kota Kinabalu. Masa terus berlalu pada tahun 2010 saya membuka Ahba Uniform iaitu menyediakan perkhidmatan jahitan pakaian Koporat Customade berserta sulaman logo berkomputer yang sedia ada.
Masa terus berlalu, dalam mengharungi perjalan dunia niaga yang sememangnya penuh ranjau, saya masih mampu menongkah arus cabaran yang memang tidak henti-henti menyerang. Proses merancang dan menyelesaikan masalah menjadi permainan minda dan pemikiran di tahun kematangan perniagaan. Selebihnya saya banyak membaca buku-buku usahawan termasuk perjalanan tokoh Usahawan tersohor Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukary sebagai inpirasi saya.

Alhamdulilah Jenama Ahba Terus memahat nama di persada persaingan perniagaan dalam industri perkhidmatan yang kami sertai khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu dan sekitarnya. Sehingga artikel ini ditulis Ahba Niaga telah merentasi detik masa sepuluh tahun dalam tinta masa. Mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan, kesukaran. Sentiasa berinsipirasi untuk berjaya dan setanding dengan pemain-pemain yang sama dalam industri serta lanskap yang sama rata. Hari ini Jenama Ahba4u bukanlah sesuatu yang asing khususnya untuk warga Kota Kinabalu. Ini adalah berkat kerja keras dan kesungguhan dalam menempuh perjalanan yang tidak mengerti erti kalah dalam mengharungi cabaran dan dugaan. Amin Ya Rabil alamin.    

Cawangan Ahba Sports Di Pekan Beaufort.
Namun adat berniaga ada pasang surutnya, Kota Kinabalu dibanjiri dengan pesaing-saing baru dalam industri yang saya ceburi, perniagaan juga adakalanya turun naik,  Kebijaksanaan berfikir juga seakan-akan tepu tanpa dorongan dan inpirasi yang mampu membangkitkan sesuatu yang segar untuk penyuntik minda usahawan.
Maka bermulalah perjalan dan pertemuan dengan DR. Azizan pada seminar berani berniaga  pada 18 Mei 2013. Sehari selepas saya meraikan harijadi pada 17 Mei 2013.  Atas maklumat saya diberitahu ada Seminar Dr. Azizan di Kota Kinabalu akan di adakan, walaupun seblum itu, memang ada hasrat untuk hadir di seminar2 di kuala Lumpur. Namun belum ada kesempatan masa. Bermulanya hari pertama saya bersemangat dan seakan-akan sangat teruja dengan skil dan teknik penyampaian DAO. Ianya berlanjutan dengan keputusan saya mengambil  seat BMC Super Suprame seminggu kemudianya.

Penjenamaan semula ahba4U
Alhamdulilah. Secara umumnya selesai kelas BMC saya mengatakan pada diri bahawa tempoh 10 tahun saya melalui dunia niaga secara teraba-raba tanpa mentor dan petunjuk yang betul. Ini menyebabkan saya berkata pada diri. Perjalanan sepuluh tahun itu seumpama saya berlari 100 kilometer, tetapi saya hanya memperolehi jarak larian sejauh 50 kilometar sahaja. 50 kilometer adalah larian angin dan sia-sia.
Banyak perkara yang saya perolehi khususnya tentang Marketing dlm bisnes. Keterujaan saya tentang  kesegaran berbisnes kembali seperti di saat saya berenergi di awal-awal berniaga. Dengan cara penyampaian dan skrip yang mudah ianya banyak memudahkan pemahaman saya berbanding apa yang saya temui dalam pembacaan buku usahawan yang berlambak di pasaran, namun ianya tidak  mampu diterjemahkan kepada jiwa usahawan berbanding  apa yang Dr. Azizan sampaikan. Selesai BMC banyak perkara yang  berubah dalam diri saya. Saya mula mampu menghidangkan  Pasak senyuman dengan begitu baik sekali pada semua rakan dan sahabat yang ditemui, sering berkongsi cerita dan tips yang baik untuk bisnes sesama rakan-rakan niaga.
Merangka plan bertindak sebaik selesai BMC sehingga akhir Disember 2013. Menyusun program seperti Kerjasama koporat dgn syrikat. Saya  juga mula menyuntik energi dalam diri dan memperkukuhkan sistem dalam syarikat yang selama ini amatlah rapuh. Memberi tumpuan kepada pemantapan premis tanpa memberi tumpuan berkaitan aspek pemasaran dan sistem. Saya melaksanakan semua apa yang disarankan. Masuk bulan kedua selepas BMC saya menubuhkan deparment Pemasaran, dengan menyerahkan tugas operasi kepada pengurus sedia ada. Saya mula mengetuai unit pemasaran syarikat seperti saranan mentor.  Membuat logo koporat dan tag line syarikat, menguatkan pemasaran online dan  membuat kerjasama koporat dengan stesen radio Kota kinabalu ( KKFM ) mengambil slot  iklan hebahan jenama AHBA4U selama sebulan. Menaja pakai dalam siri aktiviti sukan radio  berserta celebriti Radio KKFM. Alhamdulilah selama sebulan hebahan berkumandang di corong radio di bandaraya kota Kinabalu.

Julainya saya mengikuti IMKK di Cheras. Berkampung di IMKK saya menimba ilmu tennag kerohanian, pentingnya pembersihan kolam jiwa, Kemampuan berhubungan dengan Allah S.W.T, konsep Doa yang spesifik serta  kekuatan Jiwa yang sentiasa di bawah kawalan emosi. Ini menjadikan saya lebih tenang dalam menghadapi saat sukar, menjadikan sesuatu yang negetif berlaku pada diri mampu diterjemahkan dengan perkaitan The Power Of Hikmat.  Ini menjadikan diri sentiasa berada pada tahap ketertiban yang amat tinggi sama ada berhadapan masalah atau mengerak gerakan kekuatan gerak hati   semasa membuat keputusan-keputusan yang agak sukar, sama ada hal yang berkaitan bisnes, keluarga dan perkara rutin harian.
Itensif Jutawan Industri baru berlalu, seumpama siri seminar yang lalu, selama 4 hari 4 malam. Energi dan adunan elmu di IJI menambah perisa yang seakan-akan melengkapkan misi untuk menjadi Jutawan Industri, Cuma anehnya sebelum mengikuti IJI . banyak perkara yang  diajar di IJI telah saya mula lakukan selepas tamatnya IMKK  yang lalu. Ianya mengingatkan saya akan doa yang spesifik tentang  kekuatan dan keinginan di kala berdoa agar dikurniakan pemikiran yang cerdes, minda yang tajam, cetusan-cetusan idea yang baik yang mampu dizahirkan menjadi tindakan-tindakan yang membuka pintu-pintu rezeki kepada  diri, keluarga serta memberi nilai tambah kpd orang lain.
IJI  juga melengkapkan misi untuk menjadi Jutawan industri, seiring itu, saya melengkapkan kepakaran yang sedia ada dalam dunia grafik yang mengalir dalam diri selama 10 tahun. Saya membawa masuk staf-staf yang mahir dalam sistem programer dan IT. Memegang kosep team work  dan Jemaah dalam misi besar yang dicapai. Saya mula mempertajamkan skil komunikasi bersama audien. Walaupun sebelum ini sering dijemput oleh agensi seperti MARA, Sedcovest iaitu anak syarikat Perniagaan Kerajaan negeri sabah bagi menyampaikan talk keusahawanan dan sebaginya. Yang terbaru pada ahad ini saya akan bersama 300 pelajar bersama team yang lain di seminar keusahawanan mahasiswa IPTA sekitar Kota Kinabalu bertempat di Universiti Malaysia Sabah. Saya akan mempromosikan siri kempen yang saya fokuskan kpd mahasiswa iaitu
1, Kempen Tam Bah Wang.
2, Kempen Jom Bisnes
3, Kempen T.Shirt murah.
Alhamdulilah syukur sangat dipertemukan dengan seminar Dr. Azizan. Saya mengandaikan ianya bukanlah terlewat bagi diri,  saya meyakini bahawa  potensi diri dan kemahuan serta jiwa besar perlu ada pada diri jika ingin berjaya. Inilah ramuan yang ada pada diri di saat sukar di awal-awal berniaga.
Tidak pernah menyesali  dgn skrip perjalan yang dilalui, tiada  istilah terlewat, Namun saya amat meyakini  berniaga tanpa ilmu seumpama meredah belukar tebal. Terpaksa meredah ke kiri dan kanan  tanpa tahu adanya rintangan di hadapan. Alhamdulilah saya tidak ragu-ragu membuang sedikit wang,tenaga,masa selama lima bulan dengan menimba ilmu Dr.Azizan yang sepatutnya disemai di kalangan bakal-bakal  usahawan. InsyAllah saya juga bertekad akan menyampaikan wadah elmu yang amat saya hargai ini. Serta tidak ada saya temui dalam siri pembacaan yang selengkap yang mentor berikan.  Jika adapun saya yakin  kebanyakannya hasilan dari pemikiran-pemikiran teori tanpa adunan pengalaman dan praktikal yang lengkap.

Gabungan pengalaman selama sepuluh tahun. Dengan adunan  pengalaman serta pembacaan dan elmu yang ditimba dari siri Seminar Mentor Dr. Azizan Osman saya mengharapkan sinar LEBIH DAN LEBIH LUAR BIASA kejayaan di depan yang saya lalui. InsyAllah misi ini akan dipermudahkanNYA dan sentiasa mendapat rahmatNYA. Amin.
Ahmad Barawi Hj Moktar





















#ahmadahbamoktar
C.E.O
ahbasports&souvenirs
ahbaniaga.
ahbauniform
ahba3M ( Media, Marketing & Motivation )

www.ahbasports.com/ahba4u
www.facebook.com/ahba3m

Nota : Bersambung pada perkembangan Syarikat Ahba3M serta hala tuju team ahba4u.   


No comments:

Post a Comment